Langit di Sungai Besar tiba-tiba bertukar hijau, rupanya ini yang terjadi

Langit di Sungai Besar tiba-tiba bertukar hijau, rupanya ini yang terjadi

Gempar di Sungai Besar pada malam Selasa, apabila penduduk melihat sinaran cahaya berwarna hijau menerangi langit pada waktu itu,

Fenomena itu telah dimuat naik di Facebook oleh seorang penduduk yang merakam kejadian yang terjadi di sebuah taman perumahan di situ.

Penduduk di situ yang dikenali sebagai Man Toya pada akaun Facebook miliknya berkata segala persoalan tercetus sejurus melihat kejadian aneh itu.

“Sungai Besar kenapa terang sangat cahaya ni dan bergerak?” tulisnya di Facebook kira-kira 8.30 malam hari kejadian.

Penduduk yang juga menyaksikan fenomena luar biasa itu turut meninggalkan komen pada gambar yang telah dimuat naik itu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor tampil jalankan siasatan

Lampu bot pukat cerut bagi mencandat sotong dikenal pasti menyebabkan ruang udara di Sungai Besar disinari cahaya berwarna hijau pada malam Selasa.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, perkara itu disahkan Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar.

Menurut beliau, lampu bercahaya hijau itu digunakan nelayan bagi menarik perhatian sotong memasuki pukat tersebut.

“Lampu hijau pada bot itu kebiasaannya berfungsi untuk dipancarkan ke kawasan dasar laut dan keadaan itu mungkin menyebabkan sinarannya naik hingga menjadikan langit kelihatan hijau,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Omar berkata, perkara itu dianggap perkara biasa dan bukannya fenomena luar biasa seperti didakwa penduduk di media sosial.

Justeru, katanya, orang ramai diminta tidak bimbang kerana ia tidak membahayakan manusia.

“Kaedah itu hanya digunakan nelayan bagi mendapatkan hasil tangkapan laut,” kata beliau.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penduduk di Sungai Besar gempar menyaksikan fenomena sebahagian langit disinari warna hijau pada malam Selasa.

Imej itu dirakam seorang pelayar Facebook yang memuat naik gambar fenomena itu di sebuah taman perumahan di sini.