“Kejut Subuh, tak tinggal solat Jumaat” – 10 tahun peluk Islam, Lana Nodin syukur suami tunjuk banyak perubahan
Pelakon Lana Nodin syukur suami mudah terima ajaran Islam selain sangat berdisiplin dalam menunaikan ibadah solat selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
Kongsi Lana atau nama penuhnya Mazlina Hasan Norin, dia kini berada di fasa paling bahagia apabila suaminya, David McKienzie semakin mendalami agama Islam.
Aktres berusia 42 tahun itu berkata, suaminya yang juga pemain bola tampar Amerika Syarikat tidak pernah meninggalkan solar Jumaat.
Malah, bapa kepada dua cahaya mata itu selalu akan mengejutkan isterinya untuk solat Subuh walaupun ketika itu berada di luar negara.
“Selama berkahwin perubahan paling ketara dalam diri suami adalah daripada susah solat sekarang menjadi mudah solat.
“Dia juga sangat tepati waktu dan disiplin serta tidak pernah gagal ke masjid untuk solat Jumaat. Jika dia ada pertandingan di luar negara, dia akan hubungi saya untuk memastikan isterinya bangun solat subuh,” katanya.
Katanya lagi, mereka juga saling mengingatkan antara satu sama lain tentang solat, namun dia jarang berkongsi perkara berkenaan kerana bimbang penyit ain.
Jelas Lana, suaminya mudah menerima ajaran Islam kerana pernah menetap di Abu Dhabi selama tujuh tahun selepas berkahwin dengannya.
Kini, suaminya sedang mengikuti kelas mengaji Iqra bersama anak sulung, Gia Quinn Mckienzie, 9.
“Setiap Ahad selama dua jam saya memang jemput ustaz dan ustazah yang merupakan pasangan suami isteri untuk mengajar anak dan suami mengaji bermula daripada Iqra.
“Satu jam mengaji dan satu jam lagi untuk kelas agama.
“Saya pun tidak sempurna dan pandai, jadi apa sahaja kemusykilan akan ditanya terus jadi suami lebih mudah faham,” kongsi Lana Nodin.
Dalam pada itu, Lana juga bersyukur anak perempuannya sudah menunaikan solat cukup lima waktu dan pasti akan marah jika tidak solat berjemaah bersama suami.
“Sekarang saya dalam proses mengajar suami menjadi imam dalam solat. Walaupun hanya pandai baca surah al-Fatiha dan tidak tahu surah-surah lain pada saya itu sudah memadai.
“Saya gembira dengan perubahan dia sebab cabaran paling besar untuk saya adalah membimbing suami sebab saya sendiri tidak sempurna dan masih banyak yang perlu dipelajari,” kongsinya lagi.
Sekadar info, Lana mendirikan rumah tangga dengan David atau nama Islamnya, Mohd. Daud pada 15 Mei 2015 iaitu setahun selepas lelaki itu memeluk agama Islam.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Gia Quinn McKienzie, 9 , dan William Daud McKienzie, 6.