“Arwah pergi dalam keadaan tenang..” – Pelakon Lan Zailan meninggal dunia akibat kanser pankreas
Pelakon veteran Lan Zailan, 66, yang menghidap kanser pankreas tahap empat, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, pada jam 4.24 pagi tadi, di sisi isteri dan anak-anak.
Berita sedih itu dikongsi isteri Allahyarham Lan, iaitu Ruby Sara Omar, 51.
“Kami semua ada di sisi arwah ketika hembus nafas terakhir. Saya dan anak-anak ambil peluang itu untuk meminta maaf daripadanya.
“Arwah pergi dalam keadaan tenang… Semuanya berlaku dengan lembut sahaja. Arwah sangat kuat dalam melawan sakit,” katanya kepada BH Online.
Sebelum ini, Ruby dilapor memberitahu keadaan suaminya kritikal selepas kembali dimasukkan ke PPUM, Ahad lalu. Sehari sebelum itu, arwah Lan dibenarkan pulang, tetapi, dikejarkan semula ke unit kecemasan zon merah pusat perubatan itu, pada sebelah malam, Ahad lalu.
Ruby dilapor berkata, bacaan oksigen suaminya baik, namun, keadaannya agak teruk hingga doktor meminta semua anggota keluarga berkumpul dan berada di sisi arwah.
Ketika itu, Ruby dilapor menjelaskan, doktor memberitahu, virus kanser aktif sudah masuk ke paru-paru kiri arwah suami, sekali gus boleh mengakibatkan pelbagai kemungkinan.
Ruby berkata, arwah suami sempat menunggu salah seorang anak yang datang dari Muar, Johor untuk bertemu buat kali terakhir.
“Arwah sangat kuat… Anak arwah yang menetap di Muar sempat datang bertemu. Sepanjang perjalanan, anak hubungi arwah dan meminta untuk menunggu.
“Ketika di sisinya, kami beritahu sudah reda ajalnya tiba dan meminta maaf atas segala-galanya. Arwah beritahu beliau maafkan semua,” katanya.
Ruby berkata, suaminya seorang pejuang, malah, bacaan oksigen yang menurun, tiba-tiba meningkat, membolehkan arwah berinteraksi bersama anak-anak hingga detik terakhir.
“Ketika ini, kami masih di PPUM untuk menunggu proses seterusnya. Insya-Allah, jenazah arwah akan dibawa ke Puchong untuk pengebumian, hari ini,” katanya.
Ruby berkata, suaminya meminta disampaikan ucapan terima kasih kepada peminat dan semua teman seperjuangan.
“Terima kasih kepada peminat dan kawan-kawan… Minta maaf dan halalkanlah jika ada buat salah. Arwah suka bergurau ketika hayatnya…. Arwah sudah memaafkan semua orang.
“Hajat arwah untuk bercakap dengan temannya, Ebby Yus tercapai, semalam. Arwah dan Ebby berhubung melalui panggilan video.
“Arwah juga ada bertanya mengenai keadaan Along Cham dan meminta Didie Alias berhubung dan mendapatkan khabar mengenai temannya itu,” katanya.
Allahyarham Lan menjalani rawatan di PPUM sejak 27 November lalu.
Sebelum ini, media melaporkan doktor meramalkan jangka hayat Lan atau nama sebenar, Zailan Kamaruddin Mohd, hanya tiga bulan selepas kanser merebak ke hati dan paru-paru.
Memulakan kerjaya lakonannya sejak empat dekad lalu, wajah Allahyarham Lan kerap menghiasi televisyen (TV) dan layar lebar. Antara drama yang pernah dibintangi arwah adalah Santan Berlada, Rumah Kedai, Kisah Benar, Gerak Khas dan banyak lagi.