Laluan ke Jambatan Attaduri dibuka semula hari ini
Laluan ke Jambatan Attaduri menyeberangi Sungai Batang Padang arah ke Chikus di Langkap dekat sini yang rebak akibat banjir pada 4 Januari lalu dibuka semula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, laluan di situ dibuka lebih awal daripada yang tarikh yang sepatutnya iaitu pada 10 Mei ini setelah kerja baik pulih yang menelan kos lebih RM2 juta siap sepenuhnya.
Menurutnya, pembukaan laluan berkenaan memudahkan penduduk berdekatan dan pengguna yang lain menjelang Hari Raya Aidilfitri dua minggu lagi.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya menyiapkan kerja baik pulih laluan ini lebih awal daripada yang dijadualkan. Pembukaan semula laluan ini pastinya memberi makna yang besar buat penduduk di sekitar Sungai Manik, Kampung Attaduri dan Kampung Chikus yang menggunakan laluan ini untuk berulang alik ke Teluk Intan.
“Dengan pembukaan semula laluan ini, pengguna tidak perlu lagi melalui jalan alternatif di jalan lama berdekatan rumah pam Chikus yang hanya boleh dilalui kenderaan ringan.
“Laluan ini yang dibuka semula akan memudahkan penduduk terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian kerja naik taraf jalan runtuh Jalan Tali Air, Chikus di sini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Sementara itu, Zainol mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan peruntukkan khas untuk membaiki kerosakan di laluan berkenaan.
Katanya, apa yang menggembirakan kerja baik pulih kerosakan jalan itu siap lebih awal daripada jangkaan iaitu 10 Mei ini.
“Pembukaan semula laluan ini memberi kelegaan kepada penduduk dan pengguna laluan ini apatah lagi menjelang Hari Raya,” katanya. – Utusan