Laluan ke Cameron Highlands ditutup semua kenderaan

Laluan ke Cameron Highlands ditutup semua kenderaan

 

Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini ditutup untuk semua jenis kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh sebentar tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, laluan tersebut tidak selamat untuk dilalui dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

“Kawasan terlibat dalam kejadian runtuhan tanah di Kilometer 27.10 itu adalah sepanjang 100 meter.

“Kejadian dipercayai ekoran hujan berterusan yang menyebabkan hakisan tanah,” katanya di sini, seperti dilaporkan Utusan hari ini.

Menurut beliau, pemantauan dari semasa ke semasa sedang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dan pihak konsesi jalan Persekutuan.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.44 petang itu, dua kenderaan dipercayai  tertimbus melibatkan sebuah lori kecil dan sebuah kereta.

Difahamkan, terdapat mangsa dalam kenderaan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.