Laku keras, tempoh menunggu Land Cruiser sampai 4 tahun

Laku keras, tempoh menunggu Land Cruiser sampai 4 tahun

 

Toyota Land Cruiser 300 Series (generasi baharu) ternyata sangat popular sehinggakan ada di antara pembeli yang terpaksa menempuh tempoh menunggu yang sangat lama.

Malah, ada yang terpaksa menunggu sehingga empat tahun semata-mata untuk menantikan kehadiran SUV off-road tersebut di dalam garaj mereka.

Berdasarkan laporan terbaharu, pengeluar Jepun tersebut kini mengakui populariti yang diterima oleh Land Cruiser 300 Series dan mereka turut membuat permohonan maaf di laman web atas kelewatan yang terpaksa ditanggung oleh pembeli.

Toyota

Malah, Toyota mengesahkan bahawa tempoh menunggu kini adalah selama empat tahun sekiranya tempahan dibuat sekarang, namun Toyota akan cuba sedaya upaya untuk memendekkan tempoh menunggu tersebut.

Selepas dilancarkan di Jepun, Toyota berjaya mencatatkan jumlah tempahan melebihi 20,000 unit di mana 90 peratus daripada pembeli memilih varian ZX serta varian GR Sport.

Toyota juga turut dilaporkan mengenakan beberapa syarat kepada para pembeli bagi mengelakkan sebarang penipuan, atau penjualan semula model tersebut dengan harga yang lebih tinggi untuk tempoh setahun selepas pembelian.

Sama seperti pengeluar lain, Toyota juga kini turut terjejas dengan krisis kekurangan bekalan cip semikonduktor, sehingga terpaksa menghentikan sementara pemasangan model tersebut pada bulan Ogos dan September tahun lalu.