Tuan rumah beri ‘goodies’ tilam kepada tetamu majlis kahwin, ini baru ‘rare’

Tuan rumah beri ‘goodies’ tilam kepada tetamu majlis kahwin, ini baru ‘rare’

 

Setiap kali menghadiri majlis perkahwinan, pastinya tetamu yang hadir akan menerima goodies bag atau beg sagu hati daripada tuan rumah.

Pemberian ini adalah sebagai tanda penghargaan mereka kepada tetamu yang hadir memeriahkan majlis raja sehari.

Kebiasaannya, hadiah yang diberikan adalah seperti bunga telur, gula-gula, jajan, kuih-muih dan air minuman.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular satu video yang memaparkan para tetamu di sebuah majlis perkahwinan di Sidoarja, Jawa Timur melompat kegirangan apabila menerima hadiah tilam daripada tuan rumah, lapor Tribunnews.

Dalam klip yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @mas_kemon03, Muhammad Alfan Baharudin menunjukkan setiap tetamu memegang tilam sambil senyuman terukir di raut wajah.

Menurut Muhammad Alfan yang juga tetamu, tuan rumah merupakan seorang pengusaha sisa sampah plastik.

“Majlis perkahwinan ini diadakan oleh keluarga Bapak Shulkan dan Puan Sumini.

“Majlis ini telah berlangsung pada 28 April 2024, hari Ahad,” katanya yang dipetik daripada Kompas.com.

Difahamkan, pemberian hadiah itu dilakukan sewaktu majlis hampir selesai. Kesemua tilam itu diagihkan kepada sekitar 500 tetamu yang majoritinya dihadiri warga tempatan.

Tambahnya, dia sama sekali tidak mengetahui bakal menerima hadiah berkenaan sebelum pulang.

“Pada mulanya, tetamu jemputan tidak mengetahui apa yang bakal diberikan dalam majlis walimatullurus itu.

“Umumnya, nasi dan makanan ringan adalah hadiah oleh tuan rumah, tetapi mereka merahsiakan tentang hadiah itu,” katanya.

Perkara itu membuatkan para tetamu terkejut menerima hadiah berkenaan dan segelintir daripada mereka ada yang mengeluarkan telefon untuk merakam momen itu.

“Ketika kami ingin pulang dari majlis, tilam diedarkan dan para tetamu mula kegembiraan dan mengeluarkan telefon bimbit untuk mengambil momen itu termasuk saya,” ujar Muhammad Alfan lagi

Video itu mendapat perhatian pengguna di media sosial kerana hadiah itu dianggap lebih mahal daripada hadiah kebiasaan.

“Dapat hadiah buat tidur, boleh mimpi yang indah menuju angkasa,” seloroh salah seorang pengguna.

“Alhamdulillah,” komen pengguna lain.

“Agak lain hadiah kendurinya,” tulis seorang pengguna lain.

Untuk makluman, video itu telah mendapat lebih 1.5 juta tontonan dengan lebih 81,200 tanda ‘suka’ dan pelbagai komen.