Apabila usia cecah 35 tahun, ini jumlah simpanan KWSP yang perlu anda ada
Apabila usia cecah 35 tahun, ini jumlah simpanan KWSP yang perlu anda ada.
Setiap individu yang bekerja di Malaysia sememangnya diwajibkan untuk mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan kehidupan dapat diteruskan apabila bersara nanti.
Salah satu pengguna laman X iaitu The Futurist berkongsi jumlah yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Malaysia dalam akaun simpanan mereka apabila mencecah usia 35 tahun.
Menurutnya, rakyat Malaysia perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM57,000 di Akaun 1 dan RM76,000 dalam keseluruhan akaun ditambah dengan jumlah yang ada dalam Akaun 2 dan Akaun Fleksibel.
Mengapa jumlah ini dianggap ideal? Ini bagi memastikan rakyat negara ini mempunyai simpanan sebanyak RM240,000 dalam Akaun 1 apabila sudah menginjak usia 55 tahun.
Dengan pembayaran KWSP sebanyak 5.50% setahun, anda akan menerima dividen RM1,100 setiap bulan sekiranya memiliki jumlah simpanan seperti di atas.
Bagaimana untuk kita meningkatkan jumlah simpanan dalam akaun? Kurangkan berbelanja perkara yang tidak diperlukan dan simpan wang lebihan yang ada setiap bulan.
Sebelum ini, seorang wanita berkongsi kejayaanya yang mempunyai simpanan hampir RM2 juta dalam akaun KWSP pada usia 35 tahun.
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai kerana jumlah simpanan yang tinggi, apatah lagi apabila dicapai pada usia yang sangat muda bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
Berdasarkan hantaran yang disertakan dengan tangkap layar baki simpanan KWSP, pengguna ini memiliki sejumlah RM1,918,580.36, yang terdiri daripada tiga akaun berasingan — Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel.
Dalam perbincangan lanjut, beliau turut mendedahkan bahawa pendapatannya mencecah sekitar RM50,000 sebulan, tidak termasuk bonus tahunan antara RM200,000 hingga RM300,000.
Antara strategi yang dikongsikan olehnya adalah:
1. Tidak Bertukar Tempat Kerja
Pengguna ini tidak melakukan “job hopping” atau melompat kerja dan kekal di syarikat yang sama sejak tamat pengajian.
Melalui dedikasinya, beliau menikmati kenaikan pangkat dan kenaikan gaji berterusan.
2. Sumbangan Sendiri ke KWSP
Setelah menyedari kelebihan menyumbang secara peribadi ke dalam akaun KWSP, beliau mula memaksimumkan jumlah sumbangan sendiri hingga RM100,000 setiap tahun.
Ini adalah cara beliau meningkatkan simpanan persaraan dengan pantas.
3. Tidak Mengeluarkan Wang KWSP
Walaupun layak untuk membuat pengeluaran melebihi RM1 juta, beliau memilih untuk tidak menyentuh simpanan miliknya.