Kurma pelbagai pilihan, murah di Ipoh

Kurma pelbagai pilihan, murah di Ipoh

Penularan pandemik COVID-19 di negara ini menyebabkan harga kurma sedikit menurun di bandar raya ini, berbanding tahun lalu ketika umat Islam bakal menyambut kehadiran bulan mulia Ramadan.

Tinjauan Bernama di beberapa tempat utama di bandar raya ini mendapati, penurunan harga kurma disebabkan lebihan bekalan di pasaran, sekali gus mendorong pemain industri menawarkan harga yang sedikit rendah kepada pelanggan.

Peniaga, Pazilah Abdul Rani, 44, berkata penurunan harga itu berikutan umat Islam yang tidak boleh merentasi bumi Makkah dan Madinah ketika pandemik COVID-19, sekali gus pembekal menawarkan harga yang murah kepada peniaga.

“Pembekal dari Makkah memberi harga yang lebih murah kerana pengunjung tidak boleh ke sana. Oleh itu, kami ambil dengan kuantiti yang banyak dan harga akan turun yang membolehkan kami memberi harga lebih rendah kepada pelanggan.

“Selain itu, kami turut membuat promosi menjual harga yang lebih murah dengan tawaran diskaun sebanyak 10 hingga 15 peratus,” katanya ketika ditemui di kedainya di sebuah pasar raya utama di bandar raya ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nurul Husna Hamzah, 22, berkata jualan kurma di kedainya turut mendapat sambutan, termasuk pelanggan yang memilih membeli juadah sunnah Rasullullah SAW itu secara dalam talian.

“Kami tawarkan penurunan harga kurma premium sebanyak RM10 hingga RM20, berbanding harga yang dijual pada tahun lalu,” jelasnya yang turut mengakui sukar mendapatkan bekalan kurma berikutan kesukaran ke Tanah Suci akibat pandemik COVID-19.

Namun, pihaknya sudah bersedia dengan membuat tempahan daripada pembekal seawal Februari lalu bagi memastikan bekalan kurma mencukupi kerana dijangkakan permintaan akan terus meningkat apabila menghampiri Syawal kelak.

Bernama dimaklumkan, hampir semua syarikat terbabit mendapatkan bekalan kurma dari negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Jordan, dan Palestin.

Sementara itu, pelanggan, Aishah Abu Bakar, 48, berkata beliau tidak risau untuk mendapatkan bekalan kurma di bandar raya ini kerana banyak pilihan yang ditawarkan selain harga yang murah dan kurma berkualiti. – Bernama