Kuku kebiruan, Wak Doyok derita kena santau angin
Pelakon dan ikon fesyen, Wak Doyok mendedahkan dirinya kini dalam proses pemulihan gara-gara gangguan sihir yang telah menjejaskan kesihatannya.
Menurut Kosmo, Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor luah rasa terkejut apabila mendapat tahu hidap santau angin selepas menerima rawatan tradisional.
“Saya baru sahaja pulih daripada gangguan mistik. Saya kena santau angin. Bukan nak tuduh, tapi saya sudah banyak kali jumpa doktor, makan ubat tapi tetap tak pulih.
“Jadi, saya buat rawatan tradisional. Saya pelik bila waktu Maghrib, saya batuk teruk. Tekak gatal, kering dan bila malam sahaja susah nak tidur.
“Alhamdulillah, kini saya sudah beransur pulih, cuma kena berpantang. Saya tak boleh makan makanan bercucuk,” katanya.
Berdasarkan ciri-ciri gangguan yang diterima, ia membuatkan pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu bertambah yakin apa yang dialaminya adalah akibat santau yang dihantar oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Saya bukan mahu kata apa, tapi petunjuk sudah jelas, kuku akan jadi kebiru-biruan. Itu semua adalah ciri santau yang nyata.
“Sekarang saya masih pulihkan keadaan diri dan lindungi daripada sihir,” ujarnya.
Bagaimanapun, aktor yang berusia 45 tahun itu sentiasa berlapang dada untuk memaafkan pelaku yang tidak dikenalinya kerana enggan untuk bermusuh dengan mana-mana pihak.
“Saya tidak tahu siapa yang hantar sihir, mungkin kenalan terdekat. Saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali nak berhutang. Saya berhutang dengan bank sahaja. Mungkin daripada mata dan percakapan pun boleh jadi sihir juga.
“Saya terima dengan hati terbuka dan minta doa daripada emak. Saya juga berdoa agar pulih seperti sedia kala dan boleh bekerja untuk menampung keluarga.
“Untuk siapa yang buat, saya maafkan. Tapi, kena jawab dengan Allah atas perbuatannya,” tuturnya.
Nama Wak Doyok kian dikenali dalam industri hiburan selepas penampilannya dalam filem Abang Long Fadil 2 dan kini banyak terima tawaran berlakon terutamanya di platform OTT.