Hampir 100,000 rakyat Malaysia melancong ke Thailand menunjukkan kuasa beli kembali pulih

Hampir 100,000 rakyat Malaysia melancong ke Thailand menunjukkan kuasa beli kembali pulih

 

Aliran wang yang dianggarkan lebih RM100 juta ke Thailand susulan kira-kira 100,000 rakyat tempatan memilih untuk melancong ke negara itu menunjukkan kuasa beli rakyat Malaysia dilihat sudah kembali pulih.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, situasi itu bukan saja menunjukkan kuasa beli rakyat Malaysia kembali pulih, malah kemampuan mereka untuk melancong  ke luar negara juga menunjukkan kemajuan ekonomi negara sebenarnya.

Katanya, ini sesuatu yang biasa dilakukan oleh rakyat di negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Korea Selatan termasuk China yang kini menggemari melancong ke negara lain untuk menikmati keindahan dan mengalami peristiwa yang selama ini ditonton di media sosial dan media utama saja.

“Dengan nilai ringgit yang mengukuh kebelakangan ini maka ramai rakyat Malaysia berhasrat melancong di luar negara untuk melihat tempat orang lain, malah banyak promosi syarikat penerbangan diadakan termasuk syarikat pelancongan keluar negara pada harga yang berpatutan.

“Selain itu, KLIA menjadi lapangan terbang paling banyak ketersalinghubungan di Asia terutama untuk penerbangan kos rendah, dengan pelbagai syarikat penerbangan yang ada menjadi penggalak kepada rakyat Malaysia untuk melancong ke luar negara.

“Bagaimanapun, aliran ringgit keluar ke negara lain apabila rakyat Malaysia melancong dan berbelanja di sana, pastinya aliran yang besar akan melemahkan nilai ringgit apabila ia dijual untuk membeli matawang negara yang ingin dilawati.

“Ia juga hampir sama dengan kesan apabila kita mengimport barangan dari luar mahupun seperti pekerja asing yang menghantar pulang wang gajian mereka ke negara masing-masing, iaitu ringgit dijual untuk membeli atau ditukarkan dengan matawang lain,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai kira-kira 100,000 rakyat Malaysia bercuti ke Hatyai baru-baru ini, seterusnya memberi pulangan sehingga RM100 juta kepada Thailand.

Aimi Zulhazmi berkata, sektor pelancongan domestik sebenarnya masih tetap menarik kepada pelancong tempatan malah dengan kempen melawat negeri seperti Perlis, Melaka dan Perak untuk 2024, ia mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Katanya, pelancong dari luar negara juga terus bertambah terutamanya dari India selepas kerajaan memudahkan pemberian ‘visa on arrival’ kepada mereka.

“Setakat Mei saja, seramai 9.48 juta pelancong luar negara direkodkan, ini selari dengan sasaran kerajaan untuk 2024 iaitu 27.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan RM102.7 bilion tahun ini.

“Pelancongan domestik di Malaysia turut mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2023 apabila merekodkan lonjakan dalam jumlah perbelanjaan kepada RM78.7 bilion, berbanding RM59.2 bilion pada 2022.

“Oleh itu, untuk menarik rakyat Malaysia terus kekal melancong di negara sendiri, maka kerajaan perlu mempergiatkan promosi dan pakej menarik,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan media sosial juga perlu dipergiatkan lagi untuk menarik pelancong dengan memfokus tarikan seperti makanan, peristiwa, tempat dan sebagainya.

“Harga barang, makanan dan minuman juga perlu dijaga daripada dinaikkan terlalu tinggi dengan kawalan yang efektif dari agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Pastinya, Tahun Melawat Malaysia 2025 harus dilaksanakan dengan baik untuk menarik pelancong tempatan dan menggandakan lagi jumlah pelancong ke luar negara,” katanya.