Kuari runtuh: Operasi cari mangsa tertimbus dihentikan seketika

Kuari runtuh: Operasi cari mangsa tertimbus dihentikan seketika

 

Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini tidak dapat diteruskan berikutan berlaku gegaran dan runtuhan tanah kecil di sekitar lokasi.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, berdasarkan penilaian risiko oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), operasi terpaksa dihentikan seketika dan kerja pengalihan bongkah batu hanya akan dimulakan semula kira-kira 4 petang, hari ini.

“Kita menjangkakan untuk memulakan operasi hari ini pada 8 pagi dengan proses pengalihan bongkah batu yang besar.

“Namun, hujan lebat pada pagi tadi dan kita terpaksa menganjakkan masa bagi proses kerja pengalihan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Aidil Adlee berkata, kesan daripada hujan itu sehingga kini masih berlaku gelungsuran tanah kecil di kawasan itu.

“Mengikut nasihat daripada pihak JMG mengatakan ini adalah tanda-tanda awal berlakunya runtuhan yang besar.

“Jadi hasil daripada perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JMG dan pemilik kawasan ini kita mendapati boleh memulakan proses pengalihan bongkah batu besar di sektor yang ditetapkan pada kira-kira 4 petang,” katanya.

Menurutnya, daripada aspek keselamatan pula pihaknya turut mendapat bantuan daripada pihak JMG dengan menggunakan peralatan khas yang dipasangkan pada bahagian sekitar bukit yang berkemungkinan mempunyai struktur yang lemah.

Katanya, pasukan hari ini akan meneruskan usaha menggunakan dron untuk mengesan haba bagi mengenalpasti kedudukan mangsa.

“Semalam kita cuba menggerakkan bantuan daripada unit udara Bomba menggunakan dron namun tidak mendapat sebarang apa-apa petunjuk haba daripada mangsa yang tertimbus.

“Hari ini kita sudah mencuba menerbangkan lagi dron, namun setakat ini kita masih belum menemui tanda-tanda,” katanya.

Katanya, bagaimanapun selepas kerja pengalihan bongkah besar pada petang ini passukan dijangka akan menggerakkan Unit K9 bagi mengesan kedudukan mangsa dijangka berada.

“Selepas kerja pengalihan bongkah batu besar petang ini dan dengan cuaca yang baik.

“Maka, Unit K9 boleh digerakkan untuk mengesan lokasi mangsa berdasarkan penilaian daripada mangsa yang terakhir berada dengan mangsa yang tertimbus,” katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan proses ‘blasting’ pada bahagian bongkah batu kecil sebagai jalan terakhir sekiranya bongkah itu tidak dapat dialihkan.