Kuari runtuh: ‘Biarlah suami parah asalkan dia masih bernyawa’

Kuari runtuh: ‘Biarlah suami parah asalkan dia masih bernyawa’

 

“Biarlah dia ditemukan dalam keadaan parah sekalipun, asalkan dia masih bernyawa dan panjang umur,” kata Wak Uda Bahkim, 41, iaitu isteri kepada seorang daripada mangsa tertimbus runtuhan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, semalam.

Wak Uda berkata, harapannya juga agar jodohnya bersama suami, Itam Balasoh , 43, di dunia masih panjang.

Dia berkata demikian sewaktu ditemui pada operasi mencari serta menyelamat (SAR) suaminya bersama seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, 49, yang memasuki hari kedua pada hari ini.

Ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu berkata, anaknya memahami keadaan yang menimpa bapa mereka dan kelihatan menerima takdir yang ditentukan.

“Anak-anak faham ayah dekat bawah (runtuhan) dan semalam mereka menangis hingga ke petang. Mereka macam terima dan faham keadaan itu kecuali anak bongsu yang masih tidak mengerti apa-apa berikutan usianya baharu dua tahun.

“Bagaimanapun hari ini saya tidak membenarkan mereka ikut ke sini bagi menjaga SOP (prosedur operasi standard) mengekang penularan wabak. Saya cuma pesan kepada anak sulung agar menjaga adik-adiknya di rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Suasana sayu menyulami operasi SAR hari ini apabila selain Wak Uda, kelihatan turut bersama adalah beberapa sanak saudaranya termasuk kakak kandung kepada Itam yang kelihatan ‘setia’ menunggu berdekatan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi menyaksikan proses SAR.

Sementara itu, operasi SAR yang ditangguhkan jam 6 petang semalam disambung semula jam 8.45 pagi tadi berikutan keadaan cuaca pagi ini yang baik serta cerah.

Pencarian mangsa diteruskan termasuk menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain penggunaan dron.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, pergerakan tanah yang masih dikesan Jabatan Mineral dan Galian (JMG) di lokasi insiden runtuhan selain keadaan cuaca buruk mungkin menyumbang kepada tempoh operasi memakan masa lebih lama.