Ku Nan dijanjikan jawatan TPM jika lompat parti

Ku Nan dijanjikan jawatan TPM jika lompat parti

 

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengakui pernah dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh kerajaan sebelum ini sekiranya beliau bersedia lompat parti meninggalkan UMNO.

Namun, tegas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu tidak berbuat demikian kerana lebih sayangkan parti dan tidak mahu dilabelkan sebagai pengkhianat.

“Saya telah diminta untuk memberikan sokongan kepada mereka lompat kepada parti mereka dan diberikan janji pelbagai jawatan sehinggakan jawatan penghabisan adalah sebagai TPM.

“Namun demi Allah, apa yang saya ada hari ini adalah kerana UMNO dan saya tidak akan mengkhianati parti saya.

“Walau apa pun terjadi, saya tidak akan mengikut apa yang dikehendaki mereka kerana saya amat yakin hanya UMNO yang akan menentukan masa depan orang Melayu, agama saya terjaga dan negara terpelihara dengan hala tuju yang benar,” katanya, lapor Malaysia Gazette.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam ucapannya merasmikan Persidangan UMNO Cawangan Bunga Matahari di Putrajaya, malam tadi.

Kerana keengganan itu, beliau telah disabitkan dengan tuduhan dan turun naik mahkamah atas pertuduhan yang diada-adakan itu.

Untuk rekod, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn. Bhd. (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, 16 Ahli Parlimen dari UMNO yang bertindak memberi sokongan kepada parti serpihan itu disebabkan tidak mahu berdepan dengan tekanan.

“Kita tahu kenapa mereka ini berbuat demikian. Ada kebarangkalian disebabkan kerana tekanan yang telah dibuat oleh pihak tertentu untuk memastikan sokongan diberikan kepada mereka.

“Malah, jika tidak mereka akan diheret ke muka pengadilan atas tuduhan yang di luar akal sebagaimana saya sendiri alami,” katanya.

Dalam ucapan itu, Tengku Adnan yang merupakan Bendahari UMNO berjanji untuk berjuang untuk agama, bangsa dan negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

UMNO katanya, adalah parti berteraskan akar umbi, mempunyai struktur dan organisasi yang mantap di samping mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas.

“Kerana itu, walaupun kita menghadapi onar yang begitu ketara terutama daripada parti serpihan yang inginkan UMNO ini gugur namun kita bersyukur kerana sehingga hari ini hasrat mereka untuk melihat UMNO terkubur adalah gagal.

“Oleh kerana kerakusan kerajaan yang baru menang ketika itu, mereka telah mengambil tindakan perundangan dan UMNO dituduh dengan pelbagai tuduhan politik bertujuan melemahkan ahli parti.

“Mereka berbuat demikian kerana kemenangan itu tidak begitu selesa, maka mereka membuat pelbagai cara untuk mendapatkan sokongan dari wakil rakyat UMNO untuk lompat menjadi ahli mereka,” dedahnya.

COMMENTS