Krisis Politik Perak: UMNO tunggu jawapan konkrit PPBM dan PAS

Krisis Politik Perak: UMNO tunggu jawapan konkrit PPBM dan PAS

Susulan kenyataan Presiden Umno, Dato Seri Zahid Hamidi selepas menghadap Sultan Perak pagi tadi yang mengatakan Umno seboleh mungkin akan mempertahankan gabungan Umno , Bersatu dan Pas untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak membawa kesimpulan bahawa Umno belum benar-benar mendapat sokongan padu daripada kedua-dua parti tersebut.

Menurut sumber dalaman yang dekat dengan pemimpin kanan Umno, langkah yang dibuat Umno adalah bagi mengunci kerusi Menteri Besar tersebut terlebih dahulu selepas melihat Pakatan Harapan turut bersedia memberikan sokongan kepada Umno terutamanya DAP yang dilihat sesuatu yang di luar jangkaan.

Pengerusi DAP Nga Kor Ming dalam satu kenyataannya hari ini mengatakan parti tersebut bersedia bersama Umno untuk menubuhkan kerajaan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku berikutan tiada satu pun parti yang beroleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Sumber tersebut turut berkata, jawapan konkrit daripada Bersatu dan Pas hanya akan disahkan selepas mereka menghadap Tuanku seperti yang dititahkan.

Katanya lagi, sekiranya Bersatu dan Pas masih tidak dapat memberi jawapan sama ada menyokong atau tidak, langkah seterusnya mungkin membuka ruang kepada penjajaran baru politik Perak untuk mempertimbangkan PH sebagai gabungan.