KPN lancar Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia pertama di Perak

KPN lancar Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia pertama di Perak

 

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia (Cafe Uniti) pertama dalam negara di Perak hari ini.

Cafe Shake and Bake di Bandaraya Ipoh di sini terpilih untuk menerima pengiktirafan sebagai lokasi pertama sempena Program Jelajah Perpaduan Keluarga Malaysia ke negeri Perak.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pengiktirafan diberikan berdasarkan keunikan dalam penyajian menu pelbagai citarasa, sehingga mampu menarik kunjungan pelanggan daripada berbilang kaum dan agama.

Katanya, Cafe Uniti melalui menerusi program masyarakat perpaduan adalah antara usaha KPN bagi meraikan pengusaha restoran yang turut bersatu hati dalam mendukung aspirasi perpaduan dengan membudayakan amalan mencungkil persamaan dan tidak menggali perbezaan.

“Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia ini diharapkan mampu menjadi ejen penggerak kepada perpaduan negara dan sekali gus menjadi tapak integrasi pelbagai kaum.

“Ia boleh menjadi satu lagi tapak integrasi baru ikatan perpaduan dalam konteks makanan yang pelbagai melalui kemajmukan rakyat di negara ini,”katanya, seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysiadi Cafe Shake and Bake di sini hari ini.

Halimah berkata, program Cafe Uniti akan dikembangkan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Program Cafe Uniti ini akan pergi kepada kafe, kopitiam, restoran, gerai dan sebagainya.

“Ini adalah salah satu cara agar mempromosikan kempen perpaduan itu bukan hanya datang daripada pihak Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional semata-mata tetapi masyarakat khususnya pengusaha makanan turut memainkan peranan,” katanya

Katanya, pada masa sama pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan program itu untuk memudahkan pengurusan lesen perniagaan terhadap pengusaha restoran dan peniaga.