KPDNHEP Perak pantau serta periksa gerai tepi jalan

KPDNHEP Perak pantau serta periksa gerai tepi jalan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan turut memantau serta memeriksa gerai-gerai yang dibuka di tepi jalan agar peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan terutamanya membabitkan isu kepenggunaan.

Ketua Pegawai Peguatkuasa KPDNHEP Perak, Dottie Azlina Ismail berkata,  pemantauan yang dibuat pihaknya dilakukan terhadap semua premis perniagaan termasuk gerai di tepi jalan bagi memastikan semua pihak terutamanya pengguna masing-masing mendapat haknya.

“Kita faham dengan keadaan sekarang, ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19, ramai yang buka gerai di tepi jalan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Jadi KPDNHEP akan turut melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap gerai-gerai di tepi jalan, trak makanan dan semua tempat yang dibenarkan berniaga agar mereka semua mematuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 peringkat negeri Perak melibatkan 14 barangan kawalan di Jaya Grocer, Ipoh Parade di sini hari ini.

Tambah Dottie Azlina, skim kawalan harga bermula hari ini sehingga 31 Disember dijalankan sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah bagi barangan keperluan menjelang perayaan Krismas.

Katanya, seramai 176 penguat kuasa dan 79 pegawai pemantau harga akan turun turun padang berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi, pasar tani dan pasar raya termasuk gerai-gerai tepi jalan untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari.

“Kita tidak akan terus menghukum peniaga-peniaga ini, sebaliknya akan membantu mereka dengan memberi nasihat terlebih dahulu.

“Amaran akan diberikan sekiranya peniaga-peniaga tetap melakukan kesalahan dan jika didapati degil juga, tindakan lanjut akan diambil termasuk memberikan notis dan mengheret ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, antara kesalahan yang sering dilakukan pengguna adalah tidak meletakkan label harga, label harga tidak jelas dan tidak menggunakan alat timbang serta sukat yang sah.

Katanya, sepanjang tahun ini, sebanyak 77,345 pemeriksaan telah dibuat oleh pihaknya dengan 853 kes telah diambil tindakan sewajarnya.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2020/12/22/kpdnhep-perak-turut-pantau-periksa-gerai-tepi-jalan/