KPDNHEP Perak lupus barang tiruan dan cetak rompak

KPDNHEP Perak lupus barang tiruan dan cetak rompak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak melupuskan pelbagai barang tiruan dan cetak rompak bernilai lebih RM1.44 juta.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, jumlah itu membabitkan 17 kes pada tahun 2019 dan 2020.

“Barang kes melibatkan 23,195 kasut menggunakan beberapa jenama terkenal bernilai RM1.29 juta, cakera padat seperti CD, DVD dan VCD dan barang kawalan.

“Pelupusan barang rampasan melibatkan kes-kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 yang telah menerima arahan pelupusan oleh pengawal dan mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Eksibit Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP di Jalan Kuala Kangsar di sini pada Rabu.

Pada masa sama, menurutnya, pihaknya melakukan 77,886 pemeriksaan premis sepanjang tahun lalu dan merampas pelbagai barangan bernilai RM747, 064.89.

“Jumlah rampasan tersebut melibatkan 855 kes serta nilai kompaun RM300,050 dan denda RM100,000.

“KPDNHEP menerima 1,488 aduan dan transaksi dalam talian adalah aduan tertinggi diterima iaitu 538 kes diikuti aduan harga (409) dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 168 kes,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifullizan memberi jaminan barang keperluan asas dan barang kawalan adalah mencukupi susulan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pengisytiharan Proklamasi Darurat.

“Berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis perniagaan serta jaminan daripada pihak pengilang, pemborong dan peruncit mendapati bekalan barangan adalah mudah diperoleh dan mencukupi.

“Pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik sebaliknya merancang pembelian dengan membeli barang perlu sahaja,” kata beliau.

Berita penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/118845/EDISI/KPDNHEP-Perak-lupus-barang-tiruan-RM144-juta