KPDN Perak serbu rumah lelaki warga tempatan, kantoi sorok 527kg minyak masak peket

KPDN Perak serbu rumah lelaki warga tempatan, kantoi sorok 527kg minyak masak peket

 

Tindakan seorang lelaki menyimpan 527 kilogram minyak masak bersubsidi di rumah terbongkar apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Taman Meru di sini pada Selasa.

Serbuan sekitar jam 5.30 petang itu dilakukan pasukan penguat kuasa KPDN Perak hasil maklumat orang awam dan risikan di kawasan kediaman terbabit.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kediaman satu tingkat dimiliki lelaki warga tempatan itu disyaki dijadikan stor simpanan minyak masak secara haram.

“Pemeriksaan menemukan kotak-kotak yang menempatkan 527 peket minyak masak bersubsidi di ruang tempat letak kenderaan.

“Semakan awal juga mendapati pemilik premis tersebut tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk menyimpan barang kawalan,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurut beliau, kesemua minyak masak bernilai RM1,317.50 berkenaan telah disita untuk tindakan selanjutnya.

“Pemilik premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki atau ada dalam kawalan barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak akan melakukan kesalahan.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.