KPDN panggil 10 syarikat, dah dapat ‘fleet card’ tapi umum naik harga

KPDN panggil 10 syarikat, dah dapat ‘fleet card’ tapi umum naik harga

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan notis bertulis memanggil 10 syarikat yang telah mengumumkan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat yang telah dikenal pasti ini akan diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan syarikat terbabit untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Kata Armizan, 10 syarikat tersebut terdiri daripada sektor pengangkutan (3 syarikat), sektor bahan binaan (3 syarikat), sektor makanan dan minuman (2 syarikat) serta sektor sewaan jentera (2 syarikat).

Dua syarikat telah dipanggil semalam, 13 Jun 2024, dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.

“Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” ujarnya.

Justeru tegasnya, setiap syarikat akan diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723.

Untuk rekod, KPDN telah melancarkan OPS KESAN 2.0 pada 8 Jun 2024 bertujuan memastikan semua peningkatan harga dan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan subsidi diesel di bawah SKDS 2.0 adalah mematuhi perundangan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tidak mencatut di bawah perundangan AKHAP 2011.

Sementara itu, KPDN turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan Kerajaan.

Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh Kementerian terutamanya di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat.

Manakala denda sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.