Kos makanan punca harga telur ayam meningkat

Kos makanan punca harga telur ayam meningkat

 

Kenaikan harga telur ayam di Perak adalah disebabkan oleh tindakan pengeluar yang terpaksa menaikkan kos di ladang.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, pemeriksaan pihak berkuasa mendapati kenaikan harga itu berpunca daripada peningkatan kos makanan ayam di pasaran dunia ketika ini.

“Tidak dinafikan terdapat beberapa peniaga runcit dikesan telah menaikkan harga telur ayam pada awal Oktober lepas iaitu daripada RM0.44 ke RM0.47 sebiji bagi Gred A, Gred B pula dijual pada harga RM0.45 sen daripada RM0.42 sen sebiji manakala Gred C dijual pada harga RM0.43 sen daripada RM0.40 sen sebiji.

“Tindakan proaktif telahpun dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dengan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada peniaga runcit, pembekal dan pengeluar telur yang menaikkan harga yang tidak munasabah agar membuat semakan penyelarasan harga jualan mereka semula agar tiada unsur pencatutan berlaku,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu, lapor Sinar Harian.

Beliau memberitahu, sebanyak 83 surat pemberitahuan semakan penyelarasan harga dan 12 notis di bawah Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 telah dikeluarkan sejak 13 Ogos hingga 19 November lepas.

Tambah Abdul Yunus, peniaga terbabit akur untuk menurunkan harga telur ayam dan menjualnya pada kadar yang munasabah.

Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut harga telur ayam di Perak mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM2 bagi 30 biji sejak Oktober lepas.

Kenaikan itu berlaku bagi semua jenis gred sama ada yang dijual di pasar pagi, kedai runcit mahupun pasar raya dengan 30 biji telur Gred A dijual pada harga RM12.90 hingga RM14.40, Gred B pula dijual antara RM12.30 hingga RM12.90 manakala RM11.15 hingga RM12.60 bagi Gred C.

Abdul Yunus juga menjelaskan, seramai 176 pegawai penguatkuasa dan 79 pegawai pemantau harga KPDNHEP negeri sentiasa melakukan pemantauan secara berkala membabitkan bekalan dan harga ke atas semua peniaga runcit, pemborong serta 11 syarikat pengeluar telur ayam utama di Perak.

“Sehubungan itu, KPDNHEP ingin mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna dengan harga munasabah tanpa unsur pencatutan.