Korban nahas mat rempit meningkat kepada empat orang

Korban nahas mat rempit meningkat kepada empat orang

 

Seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ia menjadikan keseluruhan empat maut akibat nahas terbabit, manakala tiga lagi masih dalam rawatan di hospital, selepas sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan .

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mangsa keempat yang meninggal dunia ialah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun.

Katanya, Mohd Haziq bin Harris, 34, masih dirawat di zon merah akibat kecederaan di kepala, manakala Muhammad Rahimi Shukor, 19 di zon kuning akibat kecederaan di muka dan kepala.

Terdahulu Berita Harian melaporkan tiga penunggang motosikal terbabit dalam nahas itu maut di lokasi.

Mangsa yang maut itu ialah Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, dan Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, iaitu kembar kepada Mohd Syazwan Hafiz.

Mengulas lanjut, Soffian berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 4.30 pagi membabitkan laluan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar.

Katanya, kemalangan itu membabitkan beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.

“Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

“Dalam kejadian itu, dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya lagi.

Menurut Soffian lagi, sebelum kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut sudah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram itu.

Katanya, perancangan bagi menangkap individu yang terbabit dalam lumba haram itu juga sudah diatur sebelum berlaku kejadian.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram ini kerana bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Ibu bapa juga diseru supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mendatangkan kemudaratan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.