Konstabel maut kemalangan ketika kejar penjenayah

Konstabel maut kemalangan ketika kejar penjenayah

Anggota Balai Polis Dato Keramat konstabel Muhammad Iqbal Mazlan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika sedang mengejar penjenayah di Jalan Utama di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata dalam kejadian itu, Muhammad Iqbal, 20, bersama dua lagi anggota polis sedang menjalankan rondaan cegah jenayah pada pukul 1 pagi di kawasan Jalan Scotland, sebelum melihat seorang lelaki menunggang sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Tiga anggota yang masing-masing menunggang motosikal itu meminta lelaki berkenaan untuk memberhentikan motosikalnya, namun suspek terus memecut dan menunggang dalam keadaan berbahaya, dengan melakukan aksi ‘zig zag’ bagi mengelak ditahan polis.

“Mereka mengejar lelaki itu sehingga ke Jalan Utama. Muhammad Iqbal cuba menghampiri motosikal lelaki terbabit, namun suspek melanggar motosikalnya sehingga mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk di tebing jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pulau Pinang, malam tadi.

Mengulas lanjut Soffian berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di lokasi kemalangan dan ujian air kencing didapati positif dadah.

“Suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan lima kes jenayah. Lelaki itu akan direman esok (hari ini) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh, serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Jenazah Muhammad Iqbal yang bertugas dengan polis sejak 18 bulan lepas, akan dibawa balik ke kampung halamannya di Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu untuk dikebumikan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Muhammad Iqbal.

“Saya dan isteri mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya di Facebook. – FMT