Kongsi 27 keping resit bukti pembayaran, Ali Puteh akhirnya selesai bayar hutang Hidayah

Kongsi 27 keping resit bukti pembayaran, Ali Puteh akhirnya selesai bayar hutang Hidayah

 

Pelawak, Ali Puteh  selesai bayar hutang yang tertunggak kepada balu allahyarham Abam Bocey iaitu Siti Nurhidayah selepas disaman beberapa tahun lalu.

Menerusi perkongsian Ali di Instagram, dia terpaksa membayar menerusi Cash Deposit Machine (CDM) susulan pekhidmatan bank tidak beroperasi hari ini.

Ujarnya, dia sudah membayar RM72, 490.00 bayaran saman terbabit daripada RM75, 486.48 yang dinyatakan.

Menurutnya, RM3,000.00 telah dipotong dari pihak Hidayah untuk menyelesaikan beberapa bayaran dalam isu lain sebelum ini.

“Alhamdulillah…selesai sudah hari ni…melangsaikan hutang balu arwah abg saya…Siti Nurhidayah Binti Mohd Ali… sy harap tiada lagi isu berbangkit berkenaan hutang ini lagi,” tulisnya.

Dalam kapsyen disertakan Ali di Instagram, dia telah meluahkan rasa syukur dan menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran buatnya dan kita semua.

Dia juga mewakili pihak keluarga allahyarham Abam Bocey memohon maaf kepada semua pihak dan berharap apa yang berlaku menjadi teladan buat kita.

“Saya mengambil ini sebagai pengajaran buat sy dan kita semua…sy mewakili seluruh ahli keluarga allahyarham Abam Bocey memohon ampun dan maaf buat semua … yg baik jadikan tauladan yang buruk jadikan sempadan…,” ujarnya lagi.

Pemilik nama sebenar SyedAli Mubarak Syed Mohd Ridzuan ini turut memaafkan semua yang pernah melontarkan kata-kata kurang baik kepadanya dan keluarga sepanjang permasalahan ini berlaku.

Dia yang menjelaskan  isu bayaran tersebut sambil menunjukkan resit pembayaran turut berharap agar selepas ini tiada lagi hal-hal berbangkit dan mahu fokus kepada kehidupannya serta perniagaan sambal yang sedang dikerjakan.

Terdahulu, Ali Puteh telah datang ke rumah bekas kakak iparnya untuk menyerahkan bayaran hutang secara tunai kepada wanita tersebut.

Walau bagaimanapun, Hidayah atas nasihat peguam tidak dapat menerima pembayaran berkenaan atas alasan keselamatan lebih-lebih lagi kehadiran Ali dibuat secara siaran langsung di platform media sosial.

Namun begitu, pelawak itu tetap bersyukur kerana dapat bertemu dengan anak buahnya iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey selepas empat tahun tidak bertemu.