KLK dan MBI Prihatin bantu 237 keluarga terjejas di Rumah Pangsa Waller Court

KLK dan MBI Prihatin bantu 237 keluarga terjejas di Rumah Pangsa Waller Court

Kebajikan penduduk bandar yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sama sekali tidak dipinggirkan apabila seramai 237 keluarga di Rumah Pangsa Waller Court di sini menerima bantuan barang-barang keperluan harian bagi meringankan beban kewangan mereka.

Sumbangan ini merupakan keprihatinan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerusi program tanggungjawab sosial korporat KLK – MBI Prihatin.

Ketua Pegawai Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian berkata, ramai yang menerima kesan disebabkan pandemik Covid-19 khususnya golongan berpendapatan kecil selain ada yang terjejas pendapatan atau hilang pekerjaan.

Justeru itu katanya, sumbangan yang disampaikan itu sebagai tanda prihatin selain tidak mahu golongan berkenaan merasa terpinggir walaupun mereka tidak meminta.

“Sejak pandemik ini melanda ramai yang terkesan dan sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab kita tampil memberi sumbangan.

“Seperti di Ipoh, KLK turut melakukan perkara sama dengan beberapa pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat sejak Mac tahun lalu,” katanya.

Terdahulu beliau bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menyampaikan sumbangan tersebut kepada tiga wakil penduduk Rumah Pangsa Waller Court di hadapan Dewan Mesyuarat MBI di sini semalam.

Turut hadir Ahli Majlis MBI Zon 8 (Kepayang), Mohammad Iskandar Abdul Rahman dan Pengarah Pentadbiran (Perladangan) KLK, Har Wai Ming.

Selain penghuni rumah pangsa berkenaan, KLK turut menyampaikan sumbangan pek makanan kepada 125 pelajar daripada keluarga B40 di bandar ini sepanjang PKP 3.0 dilaksanakan.

KLK menerusi kerjasama NGO Iman Ikatan Mabahhah Muslimin menyerahkan sumbangan sama kepada 100 keluarga di sekitar Chemor dan Manjoi serta mengambil inisiatif membantu sembilan rumah kebajikan termasuk pusat penjagaan warga emas dan anak yatim.

Sementara itu, Rumaizi berkata, MBI akan meneruskan kerjasama dengan syarikat korporat bagi membantu keluarga yang memerlukan terutamanya di sekitar bandaraya Ipoh.

“Ini adalah kerjasama pertama dengan KLK dan berharap ia berterusan pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Kosmo