KK Mart saman Xin Jian Chang RM32 juta, didakwa sabotaj perniagaan sehingga terjejas

KK Mart saman Xin Jian Chang RM32 juta, didakwa sabotaj perniagaan sehingga terjejas

Rangkaian kedai serbaneka, KK Mart telah memfailkan saman terhadap pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd (XJC), atas dakwaan sabotaj perniagaan.

KK Mart mendakwa, XJC telah membekalkan stoking yang tertera kalimah Allah, yang telah mencemarkan reputasi syarikat. Malah mengakibatkan kerugian yang tidak dapat dipulihkan.

Sengaja letak barang menyalahi undang-undang

Menurut KK Mart, XJC dan pemiliknya, Soh Chin Huat, sengaja mengganggu perniagaan mereka. Dengan meletakkan barang-barang yang menyalahi undang-undang di rak kedai tanpa pengawasan. Ini berlaku pada 5 Februari, ketika hanya seorang pekerja di kaunter juruwang di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Mart mendakwa tujuan XJC adalah untuk mencemarkan reputasi mereka sebelum penyenaraian melalui tawaran awam permulaan (IPO). Sabotaj ini telah membawa kepada boikot awam, mesej kebencian terhadap KK Mart, ancaman keganasan, dan komen negatif media sosial.

XJC gagal memastikan barang patuh Akta Jualan Barang 1957

KK Mart dan XJC telah menandatangani kontrak pada 1 Disember 2021. Pasa raya terkenal itu bersetuju untuk menjual barangan vendor secara konsainan.

KK Mart berpendapat bahawa, pembekal mempunyai kewajipan kontrak dan kewajipan menjaga untuk memastikan barangan yang dibekalkan adalah selaras dengan terma kontrak, termasuk produk itu mematuhi Akta Jualan Barang 1957.

Ekoran itu, KK Mart kini menuntut ganti rugi lebih RM32 juta daripada XJC, termasuk lebih RM20 juta kerugian daripada IPO yang dibatalkan, dan RM10.5 juta untuk kerosakan yang disebabkan oleh jenamanya.

Rangkaian kedai serbaneka itu juga menuntut RM1.5 juta untuk setiap minggu dari tarikh penghakiman ke atas saman kehilangan keuntungan dalam perniagaannya.