KJ rayu pembangkang sokong pindaan Akta 342, jamin atasi isu ‘dua darjat’

KJ rayu pembangkang sokong pindaan Akta 342, jamin atasi isu ‘dua darjat’

 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin merayu semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dijadual dibentangkan di Parlimen hari ini.

Katanya, pindaan Akta 342 penting kerana ia menumpukan kesalahan berulang ketika negara berdepan ancaman penularan varian Omicron.

Beliau memberi jaminan isu “dua darjat” dari segi pelaksanaan penalti akan diatasi dan pihaknya bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan duduk bersama minggu depan untuk memperhalusi garis panduan serta meneliti perinciannya berkaitan pindaan itu.

“Apabila ada pesalah berulang, terutama dalam kalangan orang kenamaan, kita kena beri sesuatu yang boleh ‘menghalang’ mereka, inilah inisiaitif akhir kita. Saya betul-betul merayu Ahli Parlimen untuk bantu KKM meluluskan pindaan ini dan kita akan perhalusi garis panduan dan peraturan pada minggu depan.

“Mustahil bagi saya untuk memasukkan perincian dalam akta, takkan saya nak masukkan denda pelitup muka dan sebagainya dalam akta ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, seperti dilaporkan FMT.

Khairy dijadual membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat petang ini.

Beliau berkata, sekiranya pindaan itu tidak diluluskan, KKM tiada kaedah lain untuk menguatkuasakan undang-undang untuk menaikkan jumlah penalti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, khasnya orang kenamaan.

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan menjadi tumpuan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu mendapat tentangan sebilangan Ahli Parlimen atas alasan denda dan kompaun yang dikenakan mengikut Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 itu keterlaluan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, KKM memerlukan beberapa minggu untuk memantau risiko penularan varian Omicron sebelum mengeluarkan nasihat berhubung kebenaran merapatkan saf di masjid.