“Kita tetap satu Malaysia, mana boleh orang susah kita tengok saja” – Anjala Devi

“Kita tetap satu Malaysia, mana boleh orang susah kita tengok saja” – Anjala Devi

 

Semalam tular sebuah video yang menunjukkan seorang wanita India menyuap makanan kepada seorang pemuda Melayu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Dalam video tersebut, C Anjala Devi, 63, kelihatan menunjukkan belas kasihan dan kasih sayang kepada pemuda tersebut yang sedang menderita angin ahmar dan tidak mampu untuk makan sendiri.

Anjala Devi mengambil inisiatif untuk menyuap makanan kepada pemuda tersebut, walaupun mereka berbeza kaum dan agama.

Menurut Anjala Devi, dia datang ke HSA untuk melawat anak saudaranya yang sedang menerima rawatan jantung. Namun, terkejut apabila melihat pemuda tersebut bersendirian dan tiada orang yang datang melawatnya.

“Jadi, saya pun bantu suapkan dia makan sebab kasihan biarkan dia terus terbaring tanpa menjamah makanan.

“Lagipun, dia diserang angin ahmar dan tak dapat nak suap makanan sendiri. Jadi apa salahnya saya bantu.

“Saya nampak adik itu makan sambil menangis dan saya kata jangan menangis. Saya beritahu dia makan sampai habis supaya perut tak kosong.

“Saya gembira dapat bantu adik itu kerana walau macam mana pun, kita tetap satu Malaysia. Mana boleh orang susah, kita tengok saja?

“Hari ini pun saya ada masakkan sup dengan sayur dan beri adik itu makan. Saya harap adik itu cepat sihat dan sembuh daripada penyakit,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Sementara itu, anak saudaranya, K Jamunahwathy, 28, yang merakam video tersebut berkata, dia sangat terharu melihat apa yang dilakukan oleh ibu saudaranya itu. Malah dia turut tidak menyangka video tersebut akan menjadi tular.

Tetapi dalam masa yang sama dia gembira kerana video itu telah menyebarkan mesej kasih sayang dan perpaduan tanpa mengira kaum dan agama.