Kisah seorang Bahalol dianggap gila, menasihati Khalifah Harun Al-Rashid di zaman Bani Abbasiyah

Kisah seorang Bahalol dianggap gila, menasihati Khalifah Harun Al-Rashid di zaman Bani Abbasiyah

 

Dalam masyarakat kita, perkataan bahalol dianggap sebagai sesuatu yang negatif dan sering diucapkan jika merasa marah pada seseorang. Pun begitu, ramai sebenarnya yang tidak tahu bahawa kisah Bahalol adalah nama samaran seorang ulama yang terkenal.

Bahalol atau nama sebenarnya Wahab Bin Amr hidup di zaman pemerintahan Khalifah Harun Al-Rasyid iaitu di zaman Bani Abbasiyah.

Ketika di zaman itu, Bahalol yang merupakan ulama atau wali Allah dianggap sebagai ‘gila’ kerana perwatakannya yang dilihat ‘selekeh’ dan sering melakukan hal yang tidak terjangka.

Bagaimanapun, dia dikatakan hanya berpura-pura tidak waras dan sebenarnya mempunyai sifat yang penuh hikmah serta bijaksana.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Bahalol dan juga Khalifah Harun Al-Rashid mempunyai pertalian darah.

Kisah Bahalol dengan Khalifah Harun Al-Rashid

Untuk pengetahuan, terdapat banyak kisah-kisah menarik di antara Bahalol dan Khalifah Harun Al-Rashid yang boleh menjadi tauladan.

Antaranya adalah ketika Khalifah Harun bertemu dengan Bahalol yang sedang duduk di atas kubur.

Dengan berperwatakan seperti orang ‘gila’, Bahalol telah disapa oleh Khalifah Harun yang pada ketika itu sedang menunggang kuda dengan nada ‘mengejek’.

“Oi Bahalol, oi orang gila, kau ini bila nak sembuh dan berfikir dengan waras,” kata Khalifah Harun.

Bila mendengar sapaan itu, Bahalol terus berlari naik ke atas pokok dan menjerit.

“Oi Harun, Oi orang gila kau pun bila nak sembuh dan berfikir dengan waras,” jerit Bahalol

Mendengar teguran itu, Khalifah Harun seterusnya mendekati Bahalol dan berkata “Sekarang ini kau atau aku yang gila, kau duduk atas kubur dengan buat perwatakan macam orang gila, sekarang ini kau atau aku yang gila”.

Jawab Bahalol, “Engkau yang gila! Sebab aku tahu istana kau akan hilang dan kubur ini akan kekal abadi.

“Aku bina kubur sebab aku tahu akan kembali ke dalam kubur nanti, sedangkan kau hanya fokus kepada istana kau dan kau lupakan kuburan kau.

“Sedangkan kau tahu kuburan itu merupakan tempat yang wajib kau akan kembali, jadi katakan kepada aku sekarang ini sebenarnya siapa yang gila, kau atau aku?”

Jawapan Bahalol itu membuatkan Khalifah Harun tersentak dan merasakan bahawa dia membuat kesilapan sambil menangis sehingga janggutnya basah.

“Wahai Bahalol, demi Allah kau benar, tambahkan lagi apa nasihat yang kau boleh berikan kepada aku,” kata Khalifah Harun.

Maka Bahalol berkata cukuplah dengan berpegang erat kepada kitab Allah SWT.

Setelah mendengar jawapan itu, Khalifah Harun bertanya kepada wali Allah itu sama ada dia mempunyai permintaan atau tidak.

“Adakah kau ada keinginan, kalau kau ada InshaAllah aku akan cuba untuk  tunaikan,” katanya.

Buat tiga permintaan

Lantas Bahalol menyatakan bahawa dia mempunyai tiga permintaan.

“Aku ada tiga permintaan, kalau kau berjaya menunaikan permintaan aku, aku sangat berterima kasih kepada kau.

“Yang pertama, tambahkan umurku, yang kedua jauhkan aku dari malaikat cabut nyawa, yang ketiga masukkan aku ke syurga Allah dan jauhkan aku daripada api neraka,” kata Bahalol.

Jawab Khalifah Harun, dia tidak mampu untuk menunaikan semua permintaan itu.

“MasyaAllah aku tak mampu untuk tunaikan semua permintaan kau,” katanya.

Maka Bahalol berkata “Ketahuilah kau itu hanya hamba dan kau bukan raja, maka aku tiada apa-apa permintaan untuk aku minta daripada seorang hamba”

Pengajaran yang dapat kita pelajari dari kisah ini adalah hidup ini hanya sementara dan akhirat itu kekal abadi, setiap manusia juga pasti akan merasai mati dan janganlah kita hanya mengejar dunia sampaikan kita terlupa mengenai akhirat dan hari pembalasan.