Kisah manusia Melayu-Islam, kakinya di bumi tapi jiwanya di ‘syurga’

Kisah manusia Melayu-Islam, kakinya di bumi tapi jiwanya di ‘syurga’

 

Jangankan kena denda RM210 juta, saya, anak kembar minta yuran asrama RM350 pun berkira-kira nak bayar. Bayar jugalah, tanggungjawab.

Ada orang lain, nak beli susu tepung anak pun tak mampu. Jangankan susu anak, ada orang, nak isi perut sendiri pun tak ada duit.

Tapi nun di sana, ada manusia Melayu – Islam berjam tangan RM500,000, berjaket RM20,000, berselipar RM10,000 dan berbeg tangan RM250,000.

Campur semua aksesori tubuh orang itu bernilai RM1,000,000. Dia ibarat ketulan emas bergerak. Kakinya di bumi, tapi jiwanya di “syurga”.

Kata al-Ghazali, dalam diri manusia ada dua unsur. Satu, unsur marah (ghadab), disimulasikan dengan babi. Dua, unsur keinginan (syahwat), disimulasikan dengan anjing.

Marah (babi) mewakili hasad, gelojoh dan tak pernah puas. Keinginan (anjing) mewakili cinta harta, bermewah-mewah dan suka bersenang-lenang.

Kini, setiap hari saya menela’ah jilid 3 kitab Ihya’ Ulum al-Din karya Imam al-Ghazali. Dulu, jilid 1 kitab ini pernah dibaca oleh al-Marhum Dr Abdul Aziz Hanafi di Perlis.

Sungguh, kitab al-Ihya’ begitu mengasyikkan meski pun saya tidak mampu memahami dengan baik susunan kata dan gaya bahasa al-Ghazali.

Ditambah pula, perbahasan tentang jiwa oleh al-Ghazali berdasarkan pengalamannya sendiri, justeru pembaca yang tidak merasa kadang-kadang sukar memahaminya.

Ditambah pula, bahasa Arab saya lebih bawah daripada tahap sederhana. Namun, itu bukan halangan untuk mutiara al-Ihya’ dikutip satu demi satu, sedikit demi sedikit dengan sabar.

Hakikatnya, dalam hidup ini, jika kita menunggu segala-galanya sempurna, tiada apa yang boleh kita lakukan. Buatlah selagi terdaya kerana kita semua sama saja. Manusia.

Zolkharnain Abidin