Kisah Abang Viva Viral bawa bot dan RM50, bantu mangsa banjir

Kisah Abang Viva Viral bawa bot dan RM50, bantu mangsa banjir

 

Beberapa hari lalu, banjir besar yang berlaku secara mendadak di Shah Alam menyebabkan beribu-ribu penduduk terperangkap dan memohon bantuan dengan segera kerana air naik dengan cepat.

Begitu banyak mesej yang diterima dan di’viral’kan dengan harapan bantuan dapat sampai dengan segera kerana masing-masing tidak dapat masuk ke kawasan yang terlalu tinggi airnya.

Dalam kekalutan mendapatkan bantuan, ramai NGO dan orang persendirian telah cuba mendapatkan bot.

Amat sayu sekali apabila jalanraya kelihatan mula didatangi dengan kereta bernombor plat dari luar Selangor datang membawa bot.

Salah seorangnya adalah Azwan Omar, yang ditularkan di media sosial dengan gelaran ‘Abang Viva’.

Beliau difahamkan bergerak solo dari Melaka, dengan menaiki Viva dan membawa bot untuk misi membantu mangsa banjir di Shah Alam.

Dengar kata pada hari kejadian hanya bawa bekalan RM50. Hebat abang Azwan ni kan?

Antara penulisan ringkas yang viral di media sosial tentang beliau adalah hasil perkongsian Dr. Abdél Rahmanov:

KISAH ‘ABANG VIVA’ SELAMATKAN PULUHAN MANGSA BANJIR DI SHAH ALAM DENGAN BEKALAN RM50

Saya cukup tersentuh membaca kisah Abang Viva yang datang dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam. Kisah Abang Viva seperti berikut:

1. Abang Viva ini bernama Azwan Omar yang datang dari Melaka ke Shah Alam dengan menggunakan kereta Viva dan membawa sebuah bot di atas bumbung keretanya.

2. Dia hanya berbekal duit sebanyak RM50. Dia beli minyak untuk bot sebanyak RM20 dan RM30 lagi untuk makanan seperti roti dan air untuk alas perut.

3. Dia bekerja sebagai operator mesin dan memohon cuti kecemasan dari majikannya untuk ke Shah Alam bagi menyelamatkan mangsa banjir.

4. Antara mangsa banjir yang diselamatkan ialah pasangan warga emas termasuk suami yang lumpuh dan seorang ibu dengan bayi yang baru dilahirkan.

5. Sejak lima hari lepas, Abang Viva hanya alas perut dengan makan roti dan air serta tidur dalam botnya. Namun dia terus kental untuk selamatkan mangsa-mangsa banjir.

6. Cerita dia tersebar menyebabkan orang ramai menderma wang kepadanya. Namun dia agak keberatan mahu menerimanya dan menderma sebahagian besar wang itu kepada NGO-NGO lain.

7. Abang Viva berkata, “Saya datang nak tolong dengan ikhlas tak harap apa-apa pun. Saya pun tak minta untuk jadi viral sampai macam ni, orang masuk dalam internet semua. Jadi sumbangan yang saya terima itu saya akan salurkan semula kepada mangsa banjir”

8. Hebat betul kisah Abang Viva ini. Dia hanya orang biasa tanpa pangkat dan gelaran. Tetapi jiwanya amat luar biasa. Dia di antara hero yang tidak dikenali tetapi kaya jiwa dan budi.

9. Moga Allah memberkati dan memberi kekuatan atas usaha Abang Viva menyelamatkan mangsa banjir. Abang Viva hero kami!

Dr. Abdél Rahmanov
23 Dis 2021