Kilang seramik disyaki lepaskan efluen tidak terawat

Kilang seramik disyaki lepaskan efluen tidak terawat

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita kilang seramik kerana dipercayai melakukan kesalahan dengan melepaskan efluen tidak terawat ke dalam longkang awam di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, malam tadi.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, kesalahan itu dikesan menerusi Op Teras yang dijalankan JAS Cawangan Teluk Intan bermula 9.30 malam hingga 1 pagi.

“Kilang seramik itu telah ditahan kelengkapannya kerana dipercayai melakukan kesalahan melepaskan efluen tidak terawat ke longkang awam yang memberi kesan ke atas kualiti badan air yang menerima pelepasan.

“Ia juga boleh menyebabkan kemerosotan hidupan akuatik dan berlaku sedimen ke atas dasar sistem badan air yang menerima luahan atau pelepasan berkenaan jika berterusan kerana memasuki air sungai berhampiran,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis arahan dan akan menyediakan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selepas menerima keputusan daripada pihak Jabatan Kimia.

Katanya, operasi berkenaan turut disertai oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar dalam usaha mengesan pihak-pihak industri kilang yang mengambil kesempatan dengan sengaja melepaskan efluen tidak terawat. – HM