Kilang pembuatan kren pelabuhan, ‘non-essential service’ diarah tutup

Kilang pembuatan kren pelabuhan, ‘non-essential service’ diarah tutup

Sebuah kilang pembuatan kren pelabuhan di Kawasan Perindustrian Zon Perindustrian Bebas Kinta, Chemor di sini diarah tutup serta-merta kerana dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kilang tersebut diarahkan tutup kerana tidak termasuk di bawah sektor perkhidmatan perlu.

“Semasa kilang itu memohon surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pihak kilang itu memohon kebenaran kerana tersenarai sebagai perkhidmatan perlu.

“Apabila disemak semula surat kebenaran, kilang itu tidak boleh beroperasi kerana termasuk dalam kategori bukan perkhidmatan perlu dan kita telah buat keputusan supaya ditutup serta-merta dan satu kompaun juga telah dikeluarkan,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas Operasi Bersepadu Pemeriksaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 sektor perkilangan dan perindustrian di sini pada Khamis.

Mior Faridalathrash berkata, operasi bersepadu itu turut dilaksanakan serentak pada Khamis di dua daerah iaitu Batu Gajah dan Kampar membabitkan MITI Negeri Perak, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Imigresen dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, sejumlah 4,055 pemeriksaan pematuhan SOP PKP 3.0 di kawasan perkilangan dan perindustrian di seluruh negeri dilaksanakan sejak 1 Jun sehingga Rabu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 16 kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan pelanggaran SOP termasuk tiga buah kilang di daerah Tapah dan Batu Gajah diarahkan tutup serta-merta kerana beroperasi tanpa kebenaran.

“Kita akan meneruskan operasi bersepadu ini di daerah-daerah lain bagi memastikan semua kilang dan industri sentiasa mematuhi SOP serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

COMMENTS