Khaled puji tindakan Noraini letak jawatan, mahu Ahli Parlimen lain jadikan contoh
UMNO memuji tindakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kerana mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan dibuat Ketua Wanita UMNO itu merupakan satu pendirian berprinsip.
Menurut beliau, keputusan itu selari dengan ketetapan UMNO untuk menarik sokongan ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya harap tindakan dan keputusan berprinsip seperti ini akan menjadi teladan dan ikutan yang baik kepada semua Ahli Parlimen UMNO yang masih mendukung PN.
“Adalah tidak wajar untuk terus menyokong kepimpinan dan kerajaan yang sudah kehilangan kepercayaan dan rasa hormat dari rakyat serta ketiadaan sokongan majoriti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Noraini memaklumkan beliau meletakkan jawatan selaku Ahli Jemaah Menteri kerana akur dengan kehendak dibuat pucuk pimpinan parti.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor turut mengucapkan tahniah kepada Noraini kerana telah menunjukkan kesetiaan kepada parti.
“Tahniah dan terima kasih kerana percaya dan memilih untuk bersama dengan parti serta tidak mengutamakan jawatan atau kedudukan dalam sebuah kerajaan yang dilihat gagal oleh rakyat.
“Kerajaan PN telah gagal menguruskan krisis ekonomi dan ancaman pandemik Covid-19 dengan baik,” katanya.
Sumber: Utusan