Khabar gembira untuk penjawat awam, kerajaan bagi cuti tanpa rekod sempena Deepavali

Khabar gembira untuk penjawat awam, kerajaan bagi cuti tanpa rekod sempena Deepavali

 

Khabar gembira untuk pegawai perkhidmatan awam yang menyambut Deepavali.

Kerajaan mempersetujui cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada 13 November (Isnin) dibawa ke 14 November (Selasa).

Pelepasan ini tertakluk kepada pegawai perkhidmatan awam beragama Hindu di negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed, berkata perkara itu bergantung kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

“Peruntukan cuti tanpa rekod terikat kepada hari yang dibenarkan sahaja dan tidak boleh dibawa ke hari berikutnya sekiranya cuti tanpa rekod itu jatuh pada hari kelepasan am atau hari kelepasan am mingguan.

“Namun begitu, kerajaan pada 3 November bersetuju memberi pengecualian bagi 2023,” katanya dalam satu notis hebahan yang disiarkan di portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Isnin.

Menurut Zulkapli, pengemaskinian itu sudah dimaklumkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Tambahnya lagi, mulai tahun 2018 kerajaan memperuntukkan cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya (hari kedua) kepada pegawai perkhidmatan awam yang beragama Hindu.

Ia adalah sebagai tambahan kepada cuti umum Deepavali bagi memberi lebih ruang kepada mereka menyambut perayaan itu bersama keluarga.

“Peraturan ini dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR 5.3.6 dan cuti tanpa rekod itu terpakai kepada semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.

“Mengambil kira Deepavali bukan hari kelepasan am di negeri berkenaan.” jelas Zulkapli.