Khabar angin Peja mahu khianat Bersatu, akhirnya tuan badan muncul dedah perkara sebenar

Khabar angin Peja mahu khianat Bersatu, akhirnya tuan badan muncul dedah perkara sebenar

 

Ini adalah kenyataan berhubung khabar angin tidak berasas di akaun media sosial tertentu yang mempersoalkan kesetiaan saya kepada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebagai Timbalan Pengerusi PN dan Timbalan Presiden BERSATU, saya menentang komen-komen tidak produktif dan berniat jahat sebegini.

Saya ingin tegaskan kesetiaan saya kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh serta tidak berbelah bagi. Malah, akan terus berusaha gigih memperkuatkan BERSATU.

BERSATU akan terus memperjuangkan nasib rakyat dan membangunkan negara demi kesejahteraan warga.

Saya tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana pihak lawan dan tidak pernah menyokong kepimpinan kerajaan persekutuan sedia ada.

Saya yakin bahawa PN dan BERSATU kekal komited untuk berkhidmat dan memainkan peranan yang berkesan sebagai pembangkang yang jujur. Dalam keadaan ekonomi mencabar dan isu keselamatan makanan yang menyaksikan rakyat Malaysia melalui kesukaran ekonomi yg mendesak. Di sinilah fokus yang perlu diberikan oleh kedua-dua pihak; tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang.

Saya memohon kepada semua pimpinan serta pendokong di dalam BERSATU dan Perikatan Nasional supaya menangkis khabar-khabar angin sebegini dan terus memberi fokus kepada keperluan rakyat. Setiap seorang ada peranan yang perlu dipikul secara efektif untuk menjadi pembangkang yang memegang amanah mengimbangi kerajaan.

Negara ketika ini memerlukan penyelesaian kepada isu ekonomi dan kebajikan. Saya menyarankan kepada mereka yang menyebarkan khabar angin sebegini supaya sebaliknnya memfokuskan tumpuan mereka kepada isu nasional yang lebih memerlukan perhatian dan tindakan.

Perbuatan menyebar berita palsu yang menghampiri kepada fitnah jahat hanya akan merugikan, malah menambah dosa yang amat berat untuk dipikul.

Pihak yang telah menyebar berita-berita palsu ini hanya akan merosakkan reputasi mereka sendiri. Mereka mengaku memperjuangkan parti tetapi sebenarnya telah merelakan diri menjadi alat kepada usaha melemahkan parti.

Kepada Allah, saya berserah.

Sekian, terima kasih.

FAIZAL AZUMU
Timbalan Presiden BERSATU