Ketua Polis Perak bersara selepas 40 tahun tabur bakti

Ketua Polis Perak bersara selepas 40 tahun tabur bakti

 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bersara wajib pada Khamis selepas hampir 40 tahun menabur bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau diraikan dalam Majlis Paluan Berundur di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini dihadiri 250 pegawai kanan, pengurusan tertinggi termasuk anggota polis.

Majlis yang bermula pada jam 4 petang itu dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan dan dimeriahkan dengan persembahan pancaragam PDRM serta deklamasi sajak sebelum majlis paluan berundur dimulakan.

Mior Faridalathrash, 60, turut diberikan penghormatan menaiki kenderaan rasmi polis bersama isteri, Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab dan meninggalkan acara itu.

Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Perak pada November 2020 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Razarudin Husain yang kini Timbalan Ketua Polis Negara.

Jawatan Ketua Polis Perak kini dipangku Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azizi Mat Aris.

Dalam sidang medianya, Mior Faridalathrash bertekad untuk terus membantu pasukan polis meskipun tidak lagi berkhidmat dalam pasukan itu.

“Selepas 40 tahun dalam PDRM, jiwa saya sebagai pegawai polis masih terpahat dalam sanubari dan Insya-ALLAH saya akan beri sokongan penuh kepada pasukan polis walaupun telah meninggalkan pasukan,” katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian.

Anak kelahiran Kuala Kangsar itu turut bersyukur kerana diberikan peluang dua tahun terakhir berkhidmat di negeri sendiri dengan menerajui Kontinjen Perak.

Katanya, kerjasama diberikan polis Perak serta masyarakat banyak membantunya dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis Perak dengan baik.

“Sepanjang tempoh saya bertugas, kadar jenayah di negeri ini terkawal dan masih lagi merekodkan kadar jenayah yang rendah.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak, negeri Perak ini terus berada dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya.