Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau letak jawatan Ahli Lembaga Pengarah UPM

Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau letak jawatan Ahli Lembaga Pengarah UPM

Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Pengarah UPM Holdings Sdn. Bhd. berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, keputusan itu berikutan UMNO Pusat telah membuat ketetapan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ini sebagai mengambil tanggungjawab saya selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang menerusi laman sosial Facebooknya malam ini.

Menerusi status terkini di laman sosial medianya itu juga, Shah Headan turut memuat naik surat peletakan jawatannya bertarikh hari ini yang ditujukan dan diterima Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Awal hari ini, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi berkuat kuasa serta-merta.

Sumber: Utusan