Kes Zulfarhan: Netizen diminta berhati-hati ketika tinggalkan komen di media sosial – Peguam

Kes Zulfarhan: Netizen diminta berhati-hati ketika tinggalkan komen di media sosial – Peguam
Warganet diingatkan supaya tidak terlalu beremosi ketika meninggalkan komen di media sosial berhubung penghakiman Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Peguam, Mahmud Abdul Jumaat menyifatkan sesetengah komen yang dibuat di media sosial berhubung penghakiman itu sebagai ‘menyeramkan’, dan dikhuatiri boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menghina Mahkamah Persekutuan.
“Jarang kita dengar ada pihak yang cuba mempertahankan institusi kehakiman dan pihak pendakwaan. Kali ini saya perlu bersuara untuk manfaat kita bersama!
“Saya telah meneliti banyak komen daripada netizen yang tidak berpuas hati hasil daripada penghakiman Yang Amat Arif Hakim Mahkamah Persekutuan semalam.
“Namun, saya ingin tegaskan bahawa kita perlu menghormati penghakiman Mahkamah Persekutuan dan tidak membuat sebarang kenyataan yang berunsur menghina,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, jika sekadar menzahirkan kekecewaan berhubung hukuman yang dijatuhkan tidak mengapa, kerana ia sekadar perasaan individu.
Namun, ramai individu yang terlalu beremosi sehingga menuduh panel hakim dengan pelbagai tohmahan, mengeluarkan kata-kata keji dan agak ekstrem.
“Saya ingin tegaskan sebagai pengamal undang-undang, tanggungjawab dan amanah yang digalas oleh Yang Amat Arif Hakim amatlah besar dalam membuat sesuatu penghakiman.
“Perlu jelas kelebihan Yang Amat Arif Hakim, pendakwa raya dan peguam bela jika dibandingkan dengan kita semua adalah mereka mempunyai akses kepada kesemua kertas kausa Mahkamah dan keterangan yang diberikan oleh kesemua saksi.
“Jika dibandingkan kita semua, sudah pasti dalam membicarakan soal keadilan, akan bercampur dengan perasaan dan emosi,” katanya.
Dalam hantaran sama, Mahmud sekali lagi mengingatkan warganet supaya menjaga pertuturan mereka di ruangan komen kerana pemilik akaun juga akan terkena tempiasnya walaupun komen dibuat oleh pengikut atau rakan di media sosial.
“Bukan anda saja yang membuat komen boleh dikenakan tindakan, kami sebagai pemilik akaun juga mendapat tempiasnya.
“Kami perlu memeriksa ribuan komen agar tiada komen yang boleh menjadi ancaman kepada institusi kehakiman dan memberi risiko kepada kita semua.
“Hati-hati, komen yang menghina institusi kehakiman boleh dikenakan hukuman penjara atau denda sehingga ratusan ribu ringgit! Tak berbaloi!” katanya.

Sumber: Facebook Mahmud Jumaat