Kes Zulaiha : Tindakan palsukan dokumen perbuatan tidak berintegriti, langgar disiplin parti

Kes Zulaiha : Tindakan palsukan dokumen perbuatan tidak berintegriti, langgar disiplin parti

Isu penubuhan cawangan dengan memalsukan maklumat oleh Naib Ketua Angkatan Wanita (AWAN) Teluk Intan, Zulaiha Mohd Azam benar-benar mengundang rasa tidak puas hati individu yang terlibat.

Dalam kiriman bukti Akuan Bersumpah yang diberikan, sebahagian daripada individu yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Penaja Cawangan berkaitan mendakwa maklumat mereka digunakan tanpa kebenaran dan membuat tanda tangan palsu dalam dokumen yang dihantar kepada pihak sekretariat.

Mereka juga mendakwa tidak pernah hadir mana-mana mesyuarat penubuhan cawangan dan tidak tahu nama mereka telah digunakan oleh Zulaiha dan kumpulannya untuk menubuhkan cawangan secara salah.

Perkara ini kata sumber bukan sahaja salah dari segi undang-undang malah mengundang masalah yang lebih besar pada masa depan.

“Katakanlah cawangan ini diluluskan, dan apabila tiba mesyuarat tahunan perwakilan dari cawangan ini dipertikai dan tidak sah, jadi ia boleh menjejaskan keabsahan mesyuarat-mesyuarat di peringkat negeri dan nasional”, kata sumber.

“Kita kenal individu-individu yang digunakan nama mereka secara salah dan tidak boleh membiarkan perkara yang salah berlaku dalam parti. Di mana integriti mereka?”, tambahnya lagi.

Sumber juga berharap proses siasatan perlu terus dijalankan dan tindakan disiplin perlu diambil kepada mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau di belakang tabir.

Untuk rekod, mereka yang terlibat dalam pemalsuan dokumen dalam isu penubuhan cawangan palsu ini juga pernah dikaitkan dengan kes penipuan projek perumahan di Teluk Intan pada 2017.