Kes Zayn Rayyan, pengasuh bersama 2 individu dipanggil polis

Kes Zayn Rayyan, pengasuh bersama 2 individu dipanggil polis

 

Tiga individu termasuk pengasuh kepada Zayn Rayyan yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember lalu dipanggil polis untuk dirakam keterangan pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga individu berkenaan dipanggil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan.

“Selain pengasuh, dua lagi yang direkod keterangan adalah ahli keluarga kepada pengasuh itu.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses siasatan, beberapa saksi lain juga mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan untuk membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis merampas telefon bimbit ibu dan bapa mangsa bagi membantu siasatan.

Terdahulu, polis menahan ibu bapa Zayn Rayyan di sekitar kawasan Puncak Alam kira-kira jam 11 pagi, Jumaat sebelum direman selama tujuh tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Sabtu.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.