Kes tembak di KLIA 1: Miliki 3 rekod jenayah lampau, polis cari Hafizul

Kes tembak di KLIA 1: Miliki 3 rekod jenayah lampau, polis cari Hafizul

 

Suspek yang melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini awal pagi tadi, pernah ditahan pada Februari lalu kerana melakukan ugutan jenayah ke atas isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata semakan polis mendapati isteri suspek pernah membuat dua laporan polis terhadap suaminya, Hafizul Zarawi, 38, pada 2016 dan tahun lalu.

“Buat masa ini motif yang kita dapat pastikan adalah lebih kepada perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

“Mangsa pernah buat dua laporan polis sebelum ini berhubung ugutan jenayah iaitu pada 2016 dan yang terbaharu pada Disember tahun lalu dan hasil daripada laporan polis itu, suspek sudah pun ditahan polis,” katanya dalam sidang media di KLIA 1, hari ini.

Tangkap layar video tular mengenai kejadian tembakan di KLIA.
Tangkap layar video tular mengenai kejadian tembakan di KLIA.

Jelas beliau, polis sudah menghantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya namun ada beberapa arahan lain yang polis perlu laksanakan.

Terdahulu media melaporkan lelaki yang bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di sini, dipercayai melarikan diri ke utara.

Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun itu parah akibat terkena tembakan pada bahagian perut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.