Kes ‘sungai dibuat bapa’ selesai, dua pemancing pilih berdamai selepas jumpa polis
Tular sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki mendakwa sungai yang digunakan oleh seorang pemancing ketika itu, merupakan milik bapanya dan melarang orang lain untuk memancing di kawasan tersebut.
Dalam video itu, berlaku sedikit perbalahan antara mereka berdua dan difahamkan kejadian itu dilaporkan berlaku pada Ahad pagi di Sungai Lubok Kepong, Johor.
Susulan video tersebut, dua pemancing terbabit membuat laporan polis yang bertujuan mahu menyelesaikan perselisihan faham tentang hal itu secara baik.
Memetik sumber Sinar Harian, satu perjumpaan melibatkan kedua-dua pemancing itu bersama Polis Daerah Segamat, Jabatan Perikatan Daerah Segamat dan ketua kampung diadakan sejurus membuat laporan polis.
“Alhamdulillah, ia dapat menjernihkan isu secara kerjasama yang baik.
“Kedua-dua pihak telah membuat laporan polis, jadi perkara sudah selesai. Kita harap perkara ini tak perlu dipanjang-panjangkan lagi,” kata Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah.
Dalam satu video yang dimuat naik pengguna akaun Baung Padu, dikongsikan detik kedua-dua pihak duduk semeja bersama polis dan menegaskan bahawa kedua-duanya sudah berdamai.
“Hari ini kita tidak membaung, kerana kita nak selesaikan masalah yang berlaku. Pada dasarnya tidak ada apa pun. Kita pun dah macam adik beradik,” kata pemancing berbaju coklat.