Kes solar: Rosmah Mansor dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM970 juta

Kes solar: Rosmah Mansor dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, denda RM970 juta

 

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Beliau menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Rosmah, 70, bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Jika Rosmah gagal membayar denda berkenaan, beliau berhadapan hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Beliau yang membacakan penghakiman ringkas bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga rayuan selesai.

Ini adalah denda tertinggi pernah dikenakan terhadap mana-mana pesalah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Kesemua kes itu diperintahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perbicaraan bermula pada 5 Februari 2020.