Kes saman Nor Hidayah bermula, Ali Puteh sedia pertahan maruah keluarga
Nampaknya kemelut antara pelawak Ali Puteh dan kakak iparnya, Nor Hidayah memasuki fasa baru apabila kes saman kedua mereka mula didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Menurut Ali, kes berkenaan sudah didengar di hadapan hakim melalui prosedur yang diadakan secara dalam talian pada 16 dan 17 Februari lalu.
“Sepatutnya kes tersebut didengar pada September tahun lalu namun terpaksa ditunda untuk beberapa kali disebabkan PKP. Alhamdulillah kes saman melibatkan tiga pihak sudah mula didengar pada 16 dan 17 Februari secara online.
“Saya pun tak boleh nak kongsi lebih lanjut sebab kes ini masih berjalan dan Insya Allah pada 17,18,19 dan 29 Mac depan akan ada perbicaraan selanjutnya,” katanya.
Ali mengeluarkan saman terhadap Nor Hidayah dan jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri pada 27 Ogos tahun lalu.
Ia merupakan tindakan balas terhadap Nor Hidayah yang terlebih dahulu mengeluarkan saman terhadapnya dengan tuntutan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Instagram, Ali meluahkan rasa lega apabila proses undang-undang akhirnya dapat dimulakan segera.
“Alhamdulillah kes pun dah bermula di mahkamah, saman menyaman pin dah mula di bahas, mantap! Pepatah ada mengatakan sarang tabuan jangan di jolok. Hint sikit je la pada netizen semua yang banyak memaki hamun saya.
“Insyaallah lepas ni anda akan terdiam dan tersipu-sipu malu memikirkan makian-makian anda pada saya. Allah tu Maha Mendengar Maha adil. Buat baik dibalas baik. Bestnye pertama kali naik mahkamah.
“Gelak-gelak dan senyum melihat gelagat masing-masing. Jangan dibiar maruah keluarga dipijak-pijak. Demimu wahai abang Abam Bocey. Semoga dipermudahkn urusan fitnah ini berani kerana benar,” tulisnya. – RTKY, Mstar