Kes rogol Adun Tronoh: Masa yang direkod CCTV pondok pengawal, restoran tidak selari, kata saksi

Kes rogol Adun Tronoh: Masa yang direkod CCTV pondok pengawal, restoran tidak selari, kata saksi

 

Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa masa yang direkodkan di kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal Sierra Meru Desa Park dan sebuah restoran makanan segera di Meru tidak selari dengan masa sebenar.

Perkara itu dimaklumkan saksi ke-19 iaitu Inspektor Rashidi Othman daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam prosiding kes rogol membabitkan bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong hari ini.

Menurut Rashidi, masa yang dicatatkan dalam rakaman CCTV di pondok pengawal perumahan tersebut cepat 10 minit daripada waktu sebenar manakala masa yang direkodkan di kaunter pembayaran pandu lalu restoran berkenaan pula lewat tujuh minit.

“Semasa melihat rakaman CCTV di pos pengawal, saya dapati masa di semua CCTV di dalam dekoder dengan masa yang tertera pada jam tangan saya mempunyai perbezaan lebih kurang 10 minit.

“Semakan CCTV di restoran berkenaan juga mendapati masa yang tertera di skrin lebih kurang tujuh minit lewat daripada masa yang disemak pada jam tangan saya,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fitri Sadarudin di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.

Menjelaskan lanjut soalan Mohd. Fitri mengenai perbezaan masa pada rakaman CCTV dan jam tangannya, Rashidi memberitahu, masa pada jam tangannya lebih tepat kerana aturan masa jam itu diselari secara automatik mengikut di negara mana berada.

Malah katanya, beliau juga membuat semakan dengan merujuk masa yang tertera pada telefon bimbitnya.

“Saya percaya jam tangan saya mengikut waktu Malaysia kerana ‘setting’ yang dibuat secara automatik dan saya juga membuat semakan melalui telefon bimbit,” katanya yang bertugas sebagai Ketua Balai Polis Jelapang semasa kejadian.

Sementara itu semasa pemeriksaan balas peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Choo Kiong, sama ada beliau ada memeriksa dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mengesahkan masa sebenar, beliau mengakui tidak melakukan semakan tersebut.

Rashidi juga bersetuju dengan soalan Rajpal bahawa semakannya untuk kedua-dua rakaman CCTV adalah berdasarkan jam tangan dan telefon bimbitnya dan bukan menggunakan masa sebenar RTM.

Malah beliau juga bersetuju yang tidak pasti waktu sebenar yang dikatakan di pondok pengawal dan restoran makanan segera adalah tidak betul, perlahan atau cepat.

Dalam pada itu, semasa disoal peguam Salim Bashir yang turut mewakili Choo Kiong sama ada beliau mempunyai pengetahuan tentang ‘time stamping’ ‘digital water marking’ sebagai kaedah menjalankan analisis rakaman CCTV, Rashidi menjawab tidak.

Rashidi memberitahu, beliau juga tidak mengetahui kedua-dua kaedah itu digunakan dalam pemeriksaan CCTV.

Salim kemudian bertanya kepada Rashidi apakah beliau pernah memeriksa ‘calibration certificate’ untuk CCTV daripada pengurusan keselamatan perumahan dan restoran makanan segera terlibat, Rashidi menjawab tidak.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sumber: Utusan