Kes pengawal keselamatan: Polis Perak nafi guna perkataan ‘double jeopardy’

Kes pengawal keselamatan: Polis Perak nafi guna perkataan ‘double jeopardy’

 

Polis Perak menafikan pernah menggunakan perkataan pendakwaan dua kali atau double jeopardy dalam sebarang kenyataan berkaitan kes pengawal keselamatan dibelasah seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kondominium di sini, tahun lalu.

Dalam kejadian pada 29 Disember 2020 itu, mangsa, Thava Sagayam, 64, yang cedera di kepala terlantar lapan bulan dengan menjalani lapan pembedahan sebelum menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 27 Ogos lalu.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penggunaan perkataan doube jeopardy seperti mana yang disiarkan oleh portal online dan media sosial berkaitan kes itu adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Dalam hal ini, saya ingin menegaskan bahawa polis tidak pernah menggunakan perkataan double jeopardy dalam sebarang kenyataan berkaitan kes tersebut seperti mana yang disiarkan.

“Kenyataan itu bukan sahaja tidak tepat dan mengelirukan malah seolah-olah dikeluarkan oleh polis,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, ekoran kematian lelaki itu, polis merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Pejabat Peguam Negara yang mana pihak pendakwaan telah memberi beberapa arahan untuk dilengkapkan.

Katanya, kertas siasatan itu juga telah dikembalikan ke Pejabat Peguam Negara dan kini sedang menunggu arahan selanjutnya.

“Sebarang tindakan lanjut hanya akan dilaksanakan setelah mendapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara dan tarikh sebutan bagi kes tersebut telah ditetapkan pada 9 September ini,” katanya.

Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut memandangkan ia masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Sumber: Utusan