Kes OKT mati dalam lokap IPD Taiping: Dua anggota polis, dua OKT ditahan

Kes OKT mati dalam lokap IPD Taiping: Dua anggota polis, dua OKT ditahan

 

Empat individu masing-masing terdiri daripada dua anggota polis dan Orang Kena Tuduh (OKT) ditahan dipercayai terbabit dalam insiden yang menyebabkan kematian seorang OKT lain di lokap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, Perak pada 13 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Komisioner Datuk Azri Ahmad berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS telah memulakan siasatan kes tersebut pada hari OKT meninggal dunia.

“Hasil daripada siasatan yang dijalankan telah membawa kepada penahanan dua OKT lain dan dua lagi anggota polis untuk membantu siasatan.

“Kesemua mereka kini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 20 Januari 2022 bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan terbaharu hari ini.

Semalam Azri berkata,pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden itu jam 11 pagi pada Khamis.

Katanya OKT merupakan seorang lelaki warga emas tempatan berumur 63 tahun.

“OKT adalah seorang tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang telah dituduh pada 18 April 2021 di bawah Seksyen 279A dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“OKT kemudian ditempatkan di lokap IPD Taiping selepas sebutan pertama kes berkenaan pada 11 Januari yang lalu sementara menunggu sebutan seterusnya pada hari ini,” katanya lagi.

COMMENTS