Kes keganasan rumahtangga di Perak meningkat

Kes keganasan rumahtangga di Perak meningkat

Kes keganasan rumah tangga meningkat 58 peratus atau 57 kes sehingga Oktober tahun ini berbanding tahun lalu yang mencatatkan 36 kes sepanjang tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, daerah Kinta mencatatkan rekod tertinggi kes keganasan rumah tangga iaitu 20 manakala Larut Matang dan Selama dengan sembilan kes pada tahun ini.

Hilir Perak, Manjung dan Kuala Kangsar masing-masing merekodkan enam kes, Batang Padang (5), Perak Tengah (3), Kampar dan Kerian hanya satu kes dilaporkan sementara Hulu Perak pula tiada kes.

Katanya, daripada jumlah kes keganasan rumah tangga itu, sebanyak 23 kes telah dirujuk kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) bagi mendapatkan khidmat nasihat manakala 12 kes dirujuk kepada pakar kaunselor dan 11 pula dirujuk kepada agensi lain.

“Sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac lalu, sedikit sebanyak timbul ketidaksejahteraan hubungan keluarga apabila pergerakan mereka dikawal.

“Ia berpunca daripada diri kita mahupun persekitaran seperti tekanan dan faktor-faktor lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Klinik Nur Sejahtera di sini hari ini.

Justeru katanya, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau dan memberikan bimbingan kaunseling kepada mereka yang terlibat dalam perkara tersebut.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di sini, Wan Norashikin berkata, tiada sebarang kes keganasan rumah tangga dilaporkan sejak ia dikuatkuasakan bermula 20 November lalu.

“Bagaimanapun, JKM akan sentiasa bersiap sedia untuk mengatasi masalah keganasan rumah tangga sekiranya ada laporan dibuat,” katanya.

Katanya lagi, ketika tinjauan dibuat di taman tersebut semalam, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan pihak berkuasa terlibat yang menjaga kebajikan penduduk dengan baik sepanjang PKPD berlangsung.

Sumber: Kosmo Online