Kes kanak-kanak perempuan 4 tahun maut jatuh tingkat 16, mangsa dipercayai bersendirian di rumah

Kes kanak-kanak perempuan 4 tahun maut jatuh tingkat 16, mangsa dipercayai bersendirian di rumah

 

Keselamatan anak-anak di rumah perlu diutamakan walau di mana sahaja kita berada, dalam umur yang masih kecil mereka ini terdedah pada pelbagai situasi serta perkara yang membahayakan.

Terbaru, seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun jatuh dari tingkat 16 di sebuah pangsapuri di Blok 12 E3, Fasa 12, Presint 9, Putrajaya, dia disyaki terjatuh dari tingkap bilik utama rumah berkenaan pagi tadi.

Menurut laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika kejadian berlaku mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dipercayai ditinggalkan bersendirian kerana bapanya menghantar anak sulungnya ke sekolah.

Manakala ibunya pula telah keluar dari rumah berkenaan untuk pergi bekerja.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik tidur utama.

Rutin harian kebiasaan mangsa akan tinggal sendirian ketika masih tidur sebelum dihantar ke Taska Mafiz di bawah blok pangsapuri berkenaan,” katanya.

Difahamkan, mayat kanak-kanak itu kini berada di Unit Forensik Hospital Putrajaya bagi tujuan bedah siasat.

Dalam pada itu beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan klasifikasi awal adalah sebagai mati mengejut.